Cara terbaik untuk merekrut pasukan pentadbir anda adalah dengan memilih daripada ahli yang paling aktif atau mereka yang anda tahu mempunyai semangat yang sama seperti anda terhadap komuniti serta nilainya. Anda juga boleh membuat pengumuman untuk mencari sukarelawan atau meminta cadangan pencalonan yang sesuai. Nilaikan sukarelawan dan calon dengan mempertimbangkan sumbangan mereka terhadap misi anda, melihat aktiviti mereka dalam Kumpulan, serta sejarah interaksi mereka dengan ahli lain.
Idea lain adalah dengan memikirkan kebolehan yang dimiliki oleh pentadbir anda yang tidak dapat anda lakukan. Pasukan yang mempunyai kemahiran serta kepakaran yang saling melengkapi akan membolehkan anda memperkukuh kerjasama serta prestasi pasukan anda. Pada waktu yang sama, pertimbangkan untuk merekrut pentadbir yang mencerminkan kepelbagaian latar belakang komuniti anda. Kemampuan mereka untuk mewakili pandangan yang berbeza dalam kalangan ahli akan membantu untuk merangka strategi serta menangani cabaran berkaitan dengan kandungan atau ahli.
Sebaik-baiknya, berkomunikasi dengan pasukan pentadbir anda dan tetapkan kriteria bagi menambah pentadbir baharu. Cuba pastikan mereka dapat semuafakat dengan anda dan pentadbir sedia ada. Bilangan pentadbir yang lebih ramai akan membahagikan bebanan kerja, namun juga boleh meningkatkan kerumitan. Pastikan mana-mana pentadbir baharu ialah orang yang anda senangi untuk bekerja bersama.
Pentadbir komuniti boleh mengalih keluar pentadbir lain. Anda juga boleh mengalih keluar diri anda sendiri, melainkan anda merupakan pembina komuniti. Jika pentadbir ingin menarik diri, maklumkan kepada pasukan anda dan cari pengganti yang sesuai.
Anda mungkin menghadapi situasi apabila ahli komuniti enggan dinaikkan pangkat kepada pentadbir, atau pentadbir meletak jawatan daripada peranan pentadbir. Jika hal itu berlaku, anda perlu menghormati pilihan mereka, tetapi hubungi mereka untuk memahami kebimbangan dan sebab mereka berbuat demikian.