Perkara utama untuk difikirkan apabila memulakan komuniti baharu atau memasukkan kumpulan anda ke dalam Komuniti di WhatsApp.
Perkasakan dan bekerjasama dengan pentadbir dan ahli anda untuk membina serta mengekalkan pengalaman komuniti yang memuaskan.
Lihat cara orang ramai daripada pelbagai sektor menggunakan WhatsApp untuk mengembangkan komuniti mereka.
Orang ramai menyertai komuniti untuk mengakses maklumat, berhubung dengan individu yang sefahaman, untuk mendapat inspirasi, serta bekerjasama ke arah matlamat yang serupa. Untuk mengembangkan Komuniti WhatsApp, anda seharusnya mewujudkan ruang yang mampu memenuhi keperluan ahli dan menjalinkan perhubungan yang bermakna serta erat. Sampaikan maklumat dan kandungan secara kreatif, serta galakkan ahli untuk melibatkan diri, berinteraksi dan menyumbang kepada komuniti yang sihat, positif dan aktif.


"Keupayaan untuk mencipta dan mengurus begitu banyak kumpulan di bawah satu bumbung memberikan sentuhan yang lebih peribadi dan ternyata dapat menjalinkan perhubungan yang lebih bermakna antara ahli kami - berteraskan misi kami untuk menghubungkan ahli dan memupuk persahabatan yang erat."
- Bruna (International Women Berlin)
Komuniti berkembang maju apabila ahli melibatkan diri secara aktif. Sebagai seorang pentadbir, anda boleh mempengaruhi cara ahli berhubung dan berinteraksi dengan mengawal keseimbangan agar komunikasi bermakna sentiasa berterusan, tetapi tidak membanjiri ahli dengan maklumat yang terlampau banyak sehingga menjadi spam atau hingar.
Mari kita lihat beberapa idea untuk mengembangkan dan melibatkan komuniti anda:
Komuniti yang mesra dan positif akan menarik ahli baharu untuk turut serta serta mewujudkan persekitaran yang sihat dan saling mendukung satu sama lain.
Fikirkan cara anda akan mengalu-alukan ahli baharu. Mesej alu-aluan peribadi daripada pentadbir komuniti atau Kumpulan menunjukkan sambutan mesra kepada ahli. Anda juga patut menyertakan maklumat tentang tujuan dan peraturan komuniti untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan selesa dan mengambil bahagian dengan yakin.
Apabila ahli semakin bertambah, pentadbir komuniti dan Kumpulan juga boleh meningkatkan penglibatan dengan menghubungkan individu yang mempunyai minat yang sama. Pada satu ketika nanti, ahli yang baru berhubung ini mungkin akan menubuhkan Kumpulan lain dalam komuniti anda.
Untuk menggalakkan penyertaan, pentadbir komuniti dan Kumpulan mestilah mudah dihubungi, senang didekati dan bersikap mesra. Sikap mesra dan peramah membolehkan ahli mengenali anda dan membina kepercayaan. Setelah anda berjaya meraih kepercayaan ini, ahli akan berasa lebih selesa untuk menanyakan sebarang soalan kepada anda atau mengambil bahagian dalam perbualan Kumpulan.
Sesetengah ahli mungkin memerlukan idea topik untuk dikongsikan atau dibualkan. Antara cara yang berkesan untuk mendapatkan respons dan meningkatkan penglibatan ahli adalah dengan bertanya soalan-soalan mudah, relevan dan terbuka. Apabila ahli Kumpulan memberikan respons, balas secara terus kepada mereka supaya mereka tahu pendapat mereka dihargai.
Minimumkan mesej tidak berfaedah dan mengelirukan dalam Kumpulan untuk mengekalkan minat dan penglibatan ahli. Pastikan pengumuman adalah jelas, relevan, dan tepat pada masanya. Ingatkan ahli supaya menggunakan fungsi "balas", untuk memastikan perbualan dalam Kumpulan sentiasa teratur dan mengikut tajuk.
Jenis kandungan yang dikongsi bergantung pada tujuan komuniti anda. Fikirkan perkara yang ahli anda harapkan daripada komuniti. Sekiranya tujuan adalah untuk berkongsi maklumat tentang sesuatu matlamat, perkongsian kandungan yang berkaitan dengan topik secara kerap akan dihargai. Sekiranya tujuan adalah untuk sokongan sosial, pentadbir boleh berkongsi sumber atau peluang untuk berhubung.
Jadilah pentadbir komuniti dan Kumpulan yang kreatif. Pertimbangkan perkongsian kandungan dalam pelbagai format melalui teks, video, imej, nota suara, GIF dan banyak lagi. Panggilan Kumpulan berjadual juga boleh menjadi cara yang berkesan untuk menggalakkan interaksi dan memberikan kelainan yang menarik berbanding dengan rantaian mesej.
Anda perlu memastikan Kumpulan memenuhi dan menepati tujuannya. Dari masa ke masa, kumpulan mungkin akan menjadi terlalu besar dan tidak semua orang berpendapat kandungan yang sama masih lagi relevan. Langkah mengecilkan Kumpulan dengan minat yang lebih khusus boleh merancakkan perbualan serta membantu anda menentukan maklumat yang harus dikekalkan dalam Kumpulan tertentu dan yang patut disiarkan kepada semua orang.
Cara mencipta dan berkongsi pautan panggilan
Cara menghantar mesej suara
Langkah mendapatkan maklum balas berkala merupakan satu amalan yang baik. Bekerjasama dengan pentadbir Kumpulan anda untuk bertanya kepada ahli tentang jenis maklumat yang mereka anggap bernilai, tidak bernilai, dan maklumat yang mereka mahu tahu lebih lanjut.
Jika penyertaan semakin menurun, penting untuk anda fahami sebabnya. Mungkinkah disebabkan komen negatif dan tidak sopan, penyebaran maklumat salah, atau maklumat yang berlebihan?
Sesetengah ahli gemar memberikan komen dan respons kepada semua perkara, manakala yang lain lebih gemar sekadar menjadi pemerhati dalam perbincangan yang sedang berlangsung. Ingat bahawa ahli yang tidak bersuara masih mendapat manfaat daripada komuniti anda walaupun mereka tidak aktif seperti yang lain.
Jika semakin ramai ahli meninggalkan komuniti, sebaiknya tanya sebab mereka berbuat demikian, tetapi sila hormati orang yang tidak mahu memberikan maklum balas atau melibatkan diri lebih lanjut.
Sempadan memberikan garis panduan dan menetapkan had bagi kelakuan dan kandungan yang boleh diterima. Fahami cara mengurus serta mencegah maklumat salah, pembulian dan kemudaratan lain.